AM

KPKT SALUR RM4.58 JUTA TINGKAT INFRASTRUKTUR AWAM, SOSIOEKONOMI PENDUDUK GERIK

22/04/2024 01:44 PM

GERIK, 22 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.58 juta untuk pelaksanaan 22 projek pembangunan kemudahan awam di sekitar kawasan Gerik termasuk Lenggong dan Pengkalan Hulu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.7 juta melibatkan tujuh projek disalurkan kepada Majlis Daerah Gerik (MDG) manakala RM2.88 juta (15 projek) pula untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu.

Beliau berkata peruntukan yang diterima MDG itu bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf infrastruktur setempat, penyelenggaraan kolam tangkungan banjir dan projek sosioekonomi yang menyumbang kepada kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan rakyat selaras dengan Kerangka Malaysia Madani.

“Majlis Daerah Gerik telah pun menerima peruntukan sebesar RM1.7 juta. Besarlah harapan saya agar MDG dapat memastikan projek-projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan serta mengikut prinsip bajet berasaskan prestasi.

“Semua PBT (pihak berkuasa tempatan) yang menerima peruntukan diwajibkan untuk membuat analisis kos faedah supaya perbelanjaan kita betul-betul berbaloi, berhemah, tiada pembaziran dan tiada pemborosan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nga berkata antara projek yang akan dilaksanakan adalah menyelenggara dan membaik pulih Pasar Awam Gerik, kerja-kerja pembaikan longkang lama berhampiran Gerai Makan MDG Kampung Baru Batu Dua, menaik taraf tapak Pasar Malam Gerik dan menyelenggara kolam-kolam takungan dalam kawasan PBT.

Pada masa sama, beliau berkata KPKT menerusi Bahagian Kampung Baru Cina pula menyalurkan peruntukan kepada JPKK di kawasan Gerik antaranya untuk menurap semula jalan, menaik taraf sistem perparitan, menaik taraf jalan pracampuran, membina tembok penahan konkrit dan sebagainya.

Justeru, beliau berkata KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Nga menghadiri Lawatan Kerja “Program Sentuhan Kasih KPKT” di Pasar Awam Gerik, sebelum ke Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Cina iaitu di Kampung Baru Batu Dua di sini yang dirasmikan beliau.

Ketika di Pasar Awam Gerik, Nga dan pasukan KPKT telah diberi taklimat oleh pihak MDG berhubung perkembangan semasa dan keperluan penambahbaikan infrastruktur kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan