EKONOMI

EPIC SASAR PENDAPATAN MENINGKAT 10 PERATUS TAHUN INI

22/04/2024 02:31 PM

Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas bersepadu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) menyasarkan pendapatan meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM375.5 juta pada tahun ini berbanding RM344 juta pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muhtar Suhaili berkata sasaran itu dibuat berdasarkan kecekapan operasi yang meningkat dan pertumbuhan positif beberapa segmen perniagaan.

Katanya beliau yakin syarikat mampu untuk mencapai sasaran tersebut selepas mencatatkan jumlah pendapatan yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini.

“Kumpulan EPIC berjaya merekodkan pendapatan sebanyak RM93 juta pada suku pertama tahun ini berbanding RM81 juta yang diunjurkan dalam belanjawan 2024.

“Melihat kepada prestasi kewangan ini, kami yakin syarikat mampu meningkatkan pendapatan sehingga RM375.5 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.5 juta sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di sini.

Muhtar berkata pihaknya turut menyasarkan peningkatan pendapatan sehingga RM400 juta menjelang 2025.

Bagi mencapai sasaran tersebut, katanya beberapa strategi dan aktviti bakal dilaksanakan termasuk penambahan infrastruktur dan pembesaran Pelabuhan Kemaman secara berperingkat.

“Kita akan tambah dua kren di Pelabuhan Kemaman pada 2025 dan 2026 untuk meningkatkan kapasiti pelabuhan di Dermaga Timur daripada tujuh juta tan metrik kepada 12 juta tan metrik.

“Projek pembesaran pelabuhan yang sedang berjalan juga dijangka siap sepenuhnya pada 2029. Apabila siap, kita boleh mendapat peningkatan kapasiti sehingga 30 juta tan metrik setahun,” katanya.

Selain itu, Muhtar berkata Kumpulan EPIC juga sedang dalam perbincangan untuk menarik pelaburan bernilai kira-kira RM850 juta daripada syarikat konsortium Jepun pada suku ketiga tahun ini.

Kerjasama itu melibatkan pembinaan kilang bateri lithium ion dan komponen utama kenderaan elektrik (EV) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.

“Kami juga sedang merangka pelbagai pelan untuk memaksimumkan kegunaan 600 ekar tanah milik Kumpulan EPIC di Teluk Kalong bagi menjana lebih keuntungan kepada syarikat,” katanya.

Kumpulan EPIC adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu di bawah Terengganu Inc yang beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan kepada sektor minyak dan gas serta berintegrasi untuk industri huluan dan hiliran.

Antara perniagaan teras Kumpulan EPIC ialah perkhidmatan industri minyak dan gas luar pesisir termasuk pengurusan pelabuhan, kejuruteraan, perkhidmatan marin serta perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Selain itu, syarikat tersebut juga terlibat dalam industri tenaga boleh baharu dan teknologi hijau yang semakin berkembang di Malaysia.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan