DUNIA

GAZA FREEDOM FLOTILLA : FFC BERI JAMINAN KESELAMATAN PESERTA DIBERI PERHATIAN UTAMA

22/04/2024 08:13 PM

Daripada Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof

ISTANBUL, 22 April (Bernama) -- Freedom Flotilla Coalition (FFC) memberi jaminan bahawa keselamatan setiap peserta yang terlibat dalam misi pelayaran “Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla” akan diberi keutamaan sepanjang misi berlangsung.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, Dr Fauziah Hasan berkata mereka sudah dibawa melihat bahagian utama kapal terlibat dan taklimat mengenai keselamatan peserta juga diberikan.

“Alhamdullillah saya dimaklumkan bahawa ada 1,500 jaket keselamatan disediakan dan insya-Allah ia mencukupi untuk setiap peserta,” katanya ketika ditemui selepas taklimat oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) kepada delegasi Malaysia di Istanbul pada Isnin.

Beliau berkata sebelum kapal memulakan pelayaran, FFC akan memberikan taklimat keselamatan khusus buat peserta mengenai aspek keselamatan lain dengan lebih terperinci biarpun latihan                        antikekerasan sudah dijalankan pada Sabtu lepas.

“Ia meliputi semua aspek keselamatan antaranya bagaimana nak memakai jaket keselamatan, di mana lokasi utama nak berkumpul sekiranya berlaku kecemasan dan banyak lagi,” katanya.

Ditanya apakah antara prosedur utama buat aktivis dan petugas media terlibat sekiranya berlaku provokasi oleh tentera rejim sewaktu pelayaran berlangsung, Dr Fauziah berkata, kedua-dua kumpulan ini dipecahkan berdasarkan situasi yang berlaku dalam misi yang lepas.

“Biasanya petugas media akan diasingkan daripada kumpulan aktivis, untuk itu penting bagi petugas media memakai topi dan jaket yang memberi indikasi bahawa mereka merupakan petugas media.

Selalunya berdasarkan pengalaman saya, kalau kapal dah menghampiri 100 batu nautika nak sampai ke Gaza, kita biasanya sudah berjaga-jaga mendepani sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Ini kerana pada bila-bila masa sahaja Tentera Laut Israel akan menghantar isyarat dan mula menghubungi kapal mengenai maklumat pelayaran dan akan bertanya lanjut mengenai lokasi pelayaran dan lain-lain,” katanya  lagi.

Pada masa sama, Dr Fauziah juga berkata akan berlaku kemungkinan kapal yang terlibat dalam misi ini akan dihampiri tiga kapal Tentera Laut Israel dan sesi perundingan akan berlaku di antara FFC dan Tentera Laut Israel.

Namun sekiranya perundingan tidak berjaya, mereka mungkin bertindak memecah masuk ruang kabin kapal seterusnya merampas kapal misi.

Bagaimanapun tambahnya, FFC sudah bersedia dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan yang akan berlaku sepanjang pelayaran berlangsung.

Terkini, 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga  wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan