POLITIK

Prk Kuala Kubu Baharu: Bn Tiada Masalah Sokong Calon Kerajaan Perpaduan

23/04/2024 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk menyokong calon daripada mana-mana parti membentuk Kerajaan Perpaduan yang diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan hari ini berkata calon dipilih adalah berdasarkan persefahaman bersama dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau parti komponen lain.

“Kerajaan Perpaduan terbina atas asas persefahaman dan kerjasama. Asas itu perlu dijaga sebaiknya. Adalah penting untuk kita mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang akan mengeruhkan asas perpaduan dan persefahaman dalam kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata semua  pihak perlu berfikir daripada pelbagai sudut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan setiap permasalahan perlu diselesaikan secara kolektif dan perbincangan secara dalaman antara parti terlibat.

Zambry berkata BN juga tidak akan membiarkan pembangkang memenangi PRK itu dan berusaha memenangkan calon Kerajaan Perpaduan dengan pendekatan berbeza serta sesuai.

“Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberikan komitmen beliau serta BN untuk memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

“BN akan menyusun gerak kerja untuk dilaksanakan dengan baik di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan dan memastikan pengundi menunaikan hak mengundi sekali gus memberi kemenangan buat calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Zambry berkata PRK Kuala Kubu Baharu akan memberikan satu dimensi baharu terutamanya dalam konteks politik kesederhanaan dan kestabilan negara.

“Politik kesederhanaan ini penting untuk menjamin kelangsungan dan usaha Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kestabilan negara, mengamalkan prinsip sederhana dan kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh diadakan selepas PRU15, dengan enam PRK dilaksanakan tahun lepas iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan