DUNIA

OIC KUTUK PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI BERTERUSAN ISRAEL DI SEMENANJUNG GAZA

23/04/2024 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang tragis dan berterusan oleh pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki susulan laporan penemuan kubur besar baru-baru ini di perkarangan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.

OIC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata penemuan itu menunjukkan beratus-ratus individu yang hilang tempat tinggal, cedera dan sakit serta konvoi perubatan, telah dikenakan penyeksaan dan penderaan sebelum dibunuh dan dikebumikan secara besar-besaran.

“OIC menganggap ini sebagai jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan keganasan negara terancang yang memerlukan penyiasatan, pertanggungjawaban dan sekatan di bawah undang-undang jenayah antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

OIC menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab atas kesan jenayahnya dan amalan pengganas yang berterusan terhadap rakyat Palestin, sambil menekankan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa mesti memikul tanggungjawabnya dalam hal ini.

"OIC memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan, mengenai keperluan untuk menghentikan jenayah perang yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin," menurut kenyataan itu.

Agensi pertahanan awam Gaza dalam kenyataan pada Isnin berkata pekerja kesihatan telah menemukan sekurang-kurangnya 283 mayat yang dikebumikan dalam kubur besar di pekarangan hospital itu selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April berikutan serangan darat selama 4 bulan.

Sekurang-kurangnya 34,151 rakyat Palestin terbunuh dan 77,000 yang lain cedera dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lepas, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan yang teruk di kawasan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan