AM

HELIKOPTER TLDM TERHEMPAS: SULTAN SELANGOR ZAHIR DUKACITA, HARGAI JASA ANGGOTA TERKORBAN

23/04/2024 05:58 PM

SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi tadi. 

Menerusi catatan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin selaku Kapten Yang Dipertua TLDM turut menzahirkan rasa terkejut dengan insiden yang telah mengorbankan 10 kru yang juga anggota TLDM tersebut.

"Selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Beta ingin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM ini.

Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi dengan aman.

Baginda bertitah pemergian 10 anggota TLDM itu adalah satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Turut menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga anggota TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut pagi tadi adalah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Salam takziah buat waris dan ahli keluarga mereka yang terkorban. Semoga ahli keluarga tabah dengan kehilangan dan dugaan ini,” menurut hantaran di laman media sosial rasmi, Kesultanan Pahang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan