JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RAMPAS PIL KUDA, HEROIN BERNILAI HAMPIR RM400,000

23/04/2024 02:22 PM

KUALA TERENGGANU, 23 April (Bernama) -- Polis merampas empat kilogram pil kuda dan 33.12 gram heroin bernilai RM384,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Datu, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai bekerja sebagai penjaga stor dadah berkenaan.

Beliau berkata lelaki terbabit yang juga penganggur dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak Disember tahun lepas dengan upah RM2,000 sebulan.

"Selain dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Y15 bernilai RM12,000 dan wang tunai RM240.

"Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai penjaga stor kepada ‘tokan’ dadah bermula Disember lepas. Suspek tinggal di rumah neneknya sejak berusia empat tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Azli berkata dengan rampasan itu, pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Kuala Terengganu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Lelaki berkenaan direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga sudah mengenal pasti beberapa ahli sindiket lain dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan