AM

NAHAS HELIKOPTER: JANGAN BUAT SPEKULASI, JAGA SENSITIVITI KELUARGA MANGSA - TPM FADILLAH

23/04/2024 05:05 PM

LUMUT, 23 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berharap supaya tiada sesiapa yang akan membuat sebarang spekulasi terhadap insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata semua pihak juga perlu menghormati waris mangsa dengan tidak memaparkan sebarang video atau gambar yang sensitif bagi menjaga sensitiviti keluarga terlibat dengan kejadian tersebut.

“Apa punca jangan kita buat spekulasi, itu yang saya harapkan, para media dan orang ramai jangan buat spekulasi, biarlah pihak polis dan tentera membuat siasatan dan kita tunggu laporan penuh daripada mereka.

“Memang mereka sedang buat latihan dan sebagainya… Apabila kemalangan, kita terimalah ia sebagai satu kemalanagan, kita tunggu hasil siasatan pihak berwajib,” katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga mangsa dan melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Sementara itu, Fadillah berkata kehadiran beliau ke Pangkalan TLDM Lumut hari ini adalah atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berjumpa dengan anggota khususnya kepimpinan tertinggi TLDM Lumut bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku semasa latihan itu.

Bagi pihak Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI, Fadillah berkata beliau mengucapkan takziah kepada TLDM dan seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden pagi ini.

“Dan saya sempat menziarah, berjumpa dengan waris-waris mereka dan persiapan yang dilaksanakan oleh pihak TLDM dalam menyiapkan mangsa-mangsa untuk seterusnya dibawa ke hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun) nanti untuk bedah siasat,” katanya.

Berkenaan kebajikan waris, Fadillah berkata perkara itu akan dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin nanti, selain bantuan daripada kerajaan.

“Biarlah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nanti umumkan apa sahaja bantuan dan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa.

“Keluarga semua dah ada (di Pangkalan TLDM Lumut) kecuali keluarga dari Sabah sahaja belum sampai, dijangka sampai petang nanti dalam 6.30 petang dan mereka sudah pasti akan dibawa ke Ipoh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan