KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Selatan yang dijadual pada 20 Sept ini menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan kesepakatan dalam parti serta menyelaraskan hala tuju perjuangannya.
Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata konvensyen itu juga bertujuan memperkasakan jentera parti agar terus relevan, berkesan dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta negeri Sarawak.
"Melalui konvensyen ini, kita memastikan seluruh kepimpinan dan akar umbi bergerak sederap segulai sejalai dalam menjayakan agenda pembangunan Sarawak yang lebih maju, inklusif dan mampan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Insya-Allah, dengan komitmen semua pihak, kita akan memastikan Konvensyen PBB Sarawak Zon Selatan berjalan lancar dan mencapai matlamatnya," katanya.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Konvensyen PBB Sarawak Zon Selatan yang membincangkan pelbagai aspek persiapan menjelang penganjuran konvensyen berkenaan.
Beliau berkata mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pelantikan ahli jawatankuasa, penyelarasan aspek penganjuran, logistik, perjalanan program serta kesiapsiagaan jawatankuasa bagi memastikan konvensyen dapat dilaksanakan dengan teratur, lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial