AM

ARTHUR ZAHIR TERIMA KASIH PEMIMPIN UCAP TAKZIAH, ZIARAH MENDIANG BAPA

23/04/2024 05:04 PM

PENAMPANG, 23 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pemimpin negara dan Sabah yang telah menyampaikan ucapan takziah atas pemergian bapanya mendiang Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas kesudian meluangkan masa menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bapanya.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara pengebumian mendiang bapanya di sini hari ini, Arthur berkata sokongan emosi serta kata-kata semangat dititipkan banyak membantu memberi kekuatan kepada mereka sekeluarga dalam menempuh tempoh duka.

“Negara kehilangan seorang permata dan tokoh pemimpin yang tanpa penat menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia. ‘Di mana ada perpaduan, di situ ada kejayaan’ merupakan tekad mendiang untuk memastikan perpaduan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Mendiang adalah seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebajikan serta kesejahteraan wilayah Sabah serta rakyatnya. Mendiang juga pemimpin yang setia kepada perjuangan,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakan-rakan media yang memberi liputan.

Arthur berkata jasa dan pengorbanan mendiang bapanya, yang merupakan pengasas dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, tiada galang ganti terutama dalam membangun infrastruktur berteras keperluan rakyat termasuk dalam mengubah pemikiran masyarakat pedalaman untuk mendakap pendidikan sebagai pemangkin transformasi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

“Mendiang adalah seorang yang sentiasa mengutamakan khidmat kepada masyarakat. Nilai ini juga ditanam kepada saya dalam membimbing saya untuk menjadi seorang wakil rakyat dan pemimpin masyarakat. 

“Bagi kami sekeluarga, kami kehilangan seorang ayah amat disayangi, tiang seri yang telah banyak berkorban demi kesejahteraan keluarga.

“Mendiang abadi dalam kenangan kami sebagai seorang bapa yang mempunyai kepemimpinan tinggi, sentiasa bersemangat dalam melaksanakan apa-apa urusan, mempunyai daya ketahanan kuat apabila berhadapan tekanan, insan yang berfikiran jauh serta mempunyai jiwa dan rohani yang sejahtera,” katanya.

Jasad bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu selamat dikebumikan di The Empire Paradise Christian Memorial Park di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi, selepas upacara penghormatan terakhir diadakan selama empat hari di Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd, Jalan Tuaran.

Mendiang Jospeh Kurup, yang juga bekas Ahli Parlimen Pensiangan dan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) itu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 17 April lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan