AM

TERENGGANU PERLU SEGERA JAYAKAN PELAN NIT UNTUK TINGKAT PENDAPATAN NEGERI

23/04/2024 05:23 PM

KUALA TERENGGANU, 23 April (Bernama) -- Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu atau New Income Terengganu (NIT) perlu dijayakan segera untuk meningkatkan pendapatan baharu Terengganu antara lapan hingga 10 peratus selaras sasaran negeri tahun ini. 

Zuraida Md Noor (PAS-Ladang) berkata Pelan NIT yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) Januari lepas ialah langkah tepat dalam usaha pemulihan kewangan negeri selain mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri pada bayaran royalti petroleum. 

"Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25 peratus menjelang tahun 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

"Ini akan memberi kesan kepada pendapatan negeri Terengganu dalam tempoh masa panjang," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan NIT yang terancang diharap akan memberikan dorongan signifikan dalam pemulihan kewangan negeri dan dijayakan dengan kadar segera serta agresif oleh kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohtar dilaporkan berkata Pelan NIT menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutama dalam sektor teknologi hijau dan unsur nadir bumi (REE).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan