EKONOMI

ERICSSON KOMITED SEDIAKAN TEKNOLOGI 5G TERKINI UNTUK MALAYSIA

23/04/2024 05:32 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Syarikat gergasi telekomunikasi Ericsson berazam untuk terus menyediakan keupayaan rangkaian 5G terbaik melalui teknologi terkininya, termasuk mempercepatkan teknologi 5G Advance untuk pasaran Malaysia.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hagerbro percaya bahawa bersama Digital Nasional Bhd (DNB), kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dalam mengembangkan liputan rangkaian 5G untuk memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dengan pengupayaan teknologi terkini.

"Komitmen kami adalah untuk memastikan Malaysia diupayakan dengan teknologi terkini dan terbaik seperti yang kita miliki ketika ini.

"Kami akan terus menjadi peneraju dalam teknologi terkini untuk rangkaian 5G, dan tumpuan sekarang ialah bagaimana kami mampu menggunakan teknologi ini untuk memacu pendigitalan bagi perusahaan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif hari ini.

Pada Februari 2024, Ericsson memeterai perjanjian kerjasama dengan DNB untuk teknologi 5G Advanced bagi memastikan rangkaian 5G itu kekal sebagai salah satu rangkaian berprestasi terbaik di dunia.

Hagerbro juga memberi jaminan bahawa teknologi 5G Ericsson memiliki semua keupayaan terkini yang mengikut piawaian antarabangsa -- piawaian Projek Perkongsian Generasi Ketiga (3GPP).

“Kami komited untuk bekerjasama dengan DNB dan Malaysia bagi memastikan piawaian 3GPP yang baharu diperkenalkan untuk 5G Advance digunakan di Malaysia.

“Salah satu kelebihan yang anda akan lihat dalam 5G Advanced ialah pendayaan kecerdasan buatan (AI) dan cara anda mengurus, mengendalikan serta menyampaikan perkhidmatan rangkaian kepada pengguna akhir dan pelanggan perusahaan,” katanya.

Malaysia telah melepasi sasaran liputan rangkaian 5G kawasan berpenduduk (CoPA) sebanyak 80 peratus pada akhir Disember 2023, dengan jumlah liputan rangkaian terkini yang dilaporkan pada 80.2 peratus.

 

Manfaat 5G Advance kepada perusahaan

Menurut Hagerbro, Malaysia telah mendahului dalam penyediaan infrastruktur digitalnya, dan pengenalan 5G Advanced, sekali gus memberi peluang kepada perusahaan untuk mempercepatkan transformasi digital mereka.

Dengan keupayaan teknologi semasa dan infrastruktur digital Malaysia, ia boleh melonjakkan negara ini menjadi lebih berdaya saing di rantau ini dengan keupayaan 5G yang lebih baik, katanya.

“Memanfaatkan infrastruktur digital ini untuk memacu pendigitalan bukan sahaja akan membantu syarikat tempatan menjadi lebih berdaya saing tetapi juga untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia,” katanya.

Hagerbro menyatakan bahawa adalah penting bagi keseluruhan ekosistem untuk bekerjasama bagi menikmati faedah ketersambungan yang lebih baik seperti perkhidmatan awan serta membolehkan perusahaan menerap elemen pendigitalan untuk pengembangan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan