DUNIA

BERNAMA, KEDUTAAN SWEDEN BEKERJASAMA PUPUK BUDAYA MEMBACA

23/04/2024 06:04 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kedutaan Sweden di Malaysia bekerjasama melancarkan Program “Jom Baca Bersama 10 Minit@BERNAMA” hari ini, bagi memupuk budaya membaca untuk merapatkan jurang antara budaya dan mengukuhkan hubungan komuniti. 

Pelancaran program itu di Wisma Bernama di sini adalah bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang disambut setiap 23 April.

Perkongsian ini juga menyasarkan untuk menggalakkan program perpustakaan organisasi ini di pelbagai lokasi di seluruh negara, meningkatkan libat urus komuniti dan memupuk minta membaca di seluruh Malaysia.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata amalan membaca yang meluas lazimnya dilihat sebagai tanda masyarakat yang maju, mencerminkan peranan pentingnya dalam memupuk pertumbuhan pendidikan dan intelektual.

“Negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom sudah lama mendukung budaya membaca. Dalam negara ini, membaca adalah aktiviti biasa bukan hanya di rumah tetapi juga dii tempat awam, kawasan rekreasi dan semasa persinggahan,” kata beliau di dalam ucapan aluannya semasa majlis pelancaran program itu pada Selasa. 

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom.

Program “Jom Baca Bersama 10 Minit@BERNAMA” menyokong usaha untuk menggalakkan budaya membaca dipupuk dengan meluas di seluruh Malaysia.

“Pada masa ini medium membaca telah berkembang dengan ketara, menjalani satu transformasi yang menjadikan maklumat lebih mudah diakses menerusi peralatan elektronik seperti telefon pintar, tablet dan e-artikel.

Kami berharap program hari ini yang menyasarkan untuk menggalakkan membaca dalam kalangan staf Bernama, akan meluaskan lagi manfaatnya. 

Wong berkata sambutan tahunan kebangsaan “Jom Baca Bersama 10 Minit@BERNAMA”, merupakan satu inisiatif simbolik untuk memupuk sebuah budaya membaca dalam kehidupan seharian.

Ia dianjurkan serentak di seluruh Malaysia dari 11 ke 11.10 pagi, secara fizikal dan dalam talian.

Wong juga berkata program tahun ini memberikan kesan yang lebih besar berikutan kerjasama dengan Kedutaan Sweden di Malaysia yang meningkatkan kemeriahan dan menekankan kepentingan pertukaran budaya antarabangsa dengan mempromosikan celik huruf.

Beliau berkata perpustakaan di Malaysia sudah meningkatkan perkhidmatan mereka dengan ketara, mentransformasikan diri mereka kepada institusi sosial yang bertenaga dan menyumbang untuk menangani isu sosial. 

Wong berkata ia tidak lagi hanya sebuah tempat untuk meminjam buku tetapi telah berubah kepada hab kebudayaan yang menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti.

Justeru, beliau berkata masyarakat digalakkan untuk menjadikan membaca sebagai satu aktiviti yang serba guna dan mengambil langkah aktif untuk mempromosikan sumbangan dan pertukaran buku bagi membantu pengedaran dan memaksimumkan penggunaan buku di dalam masyarakat, memastikan sumber yang berharga itu memanfaatkan mereka yang memerlukan. 

“Tambahan pula, mengadakan sesi membaca untuk kanak-kanak dan golongan tua boleh dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial yang penting. memupuk celik huruf dan ikatan hubungan merentas generasi,” katanya.

Sementara itu,  Bergstrom berkata membaca memperkasakan rakyat dan ia membenarkan mereka untuk mengetahui dan memahami apa yang berlaku dalam masyarakat, untuk mengikuti dan menyertai perbahasan demokrasi.

“Aktiviti membaca semakin merosot, dan ini merupakan satu isu dalam demokrasi. Membaca  adalah satu bahagian penting dalam demokrasi. Membaca memecahkan benteng antara manusia dan membenarkan kita melihat perspektif baharu. Ia membina rasa hidup bermasyarakat, kenegaraan yang dikongsi bersama. Membaca adalah penting untuk demokrasi.” katanya.    

Bergstrom berkata inisiatif Bernama untuk menggalakkan membaca adalah satu inisiatif hebat dan Kedutaan Sweden rasa bangga untuk memberikan sokongannya.  

Bernama dalam siaran medianya berkata acara ini disertai 30 pelajar dan guru daripada Sekolah Sri Aria di sini dan pegawai daripada beberapa agensi kerajaan,  menunjukkan kesan meluas daripada inisiatif itu.

Bertemakan “Pembacaan Melestarikan Perpaduan”, acara pada tahun ini meraikan kepentingan peranan memupuk keharmonian dan saling memahami dalam kepelbagaian masyarakat, menurut kenyataan itu.

Mencerminkan kepentingan sambutan acara ini di peringkat global, ia telah menambah dimensi antarabangsa dan mempamerkan inisiatif bersama sejagat dalam membaca, katanya. 

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan