EKONOMI

SASARAN IRDA CAPAI PELABURAN RM636 BILION BANTU MALAYSIA JADI ANTARA 30 EKONOMI TERBESAR DUNIA - PM ANWAR

23/04/2024 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sasaran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk mencapai pelaburan kumulatif sebanyak RM636 bilion menjelang 2030 merupakan antara strategi Iskandar Malaysia dalam membantu negara menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dan berada di tangga ke-12 teratas dunia dalam Daya Saing Global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi tempoh yang sama IRDA turut menyasar kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)  antara 5.5 sehingga 6.5 peratus dan KDNK per kapita sebanyak RM58,800 bagi koridor ekonomi terbabit .

“Saya percaya, sasaran pertumbuhan Iskandar Malaysia ini turut akan dipacu oleh inisiatif yang telah saya umumkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City,” katanya menerusi satu hantaran di laman media X beliau.

Terdahulu, hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA ke-32, yang antara lainnya, telah meneliti cadangan hala tujunya sebagai Pihak Berkuasa Koridor dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 -2030 di bawah agenda Ekonomi Madani.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan inisiatif strategik untuk menambah baik Pusat Khidmat Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC) dan meningkatkan sosioekonomi melalui padanan pekerjaan yang saksama.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk menyusun semula landskap agensi penggalakan pelaburan negara yang dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Anwar sebelum ini semasa peluncuran Ekonomi Madani berkata kerajaan menyasar untuk meningkatkan ekonomi negara sehingga menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022, dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar, mengutamakan ekonomi yang kompleks dan meningkatkan rantaian nilai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan