AM

SUNWAY VELOCITY MALL LANCAR INISIATIF AUTSOME, TINGKAT KESEDARAN ASD

24/04/2024 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sunway Velocity Mall hari ini melancarkan "Autsome", ringkasan bagi inisiatif Autism is Awesome, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang gangguan spektrum autisme (ASD) serta menawarkan kemudahan dan perkhidmatan kepada komuniti autistik.

Pengurus Besar Kanan Sunway Velocity Mall Phang Sau Lian berkata kerjasama dengan Autism Behavioral Centre (ABC) itu bermula di Sunway Putra Mall, kemudian ke Sunway Carnival Mall, Sunway Pyramid dan kini diperkenalkan di Sunway Velocity Mall.

"Sebagai organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, kami menyedari kepentingan mewujudkan ruang yang inklusif dan menempatkan orang dengan semua keupayaan. Autsome mewakili komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk mempromosikan kesedaran, penerimaan, kemudahan dan pemahaman bagi individu yang mempunyai autisme dengan menyediakan kemudahan dan keistimewaan membeli-belah yang selesa.

"Kami menetapkan setiap Selasa (kecuali cuti umum) dari 10 pagi hingga 5 petang sebagai Hari Beli-belah Mesra Autisme," katanya dalam ucapan pada program Pelancaran dan Jelajah Media Autsome di sini hari ini.

Phang berkata selaras dengan inisiatif ini, Sunway Velocity Mall juga akan memperkenalkan dua ciri baharu yang mesra autistik iaitu pod tenang dan dinding deria 100 peratus mampan, yang membolehkan individu menghidap autisme menyentuh, merasa dan berhubung.

"Inisiatif lain termasuk menyediakan kit Autsome yang mengandungi gelang tangan khas untuk dipakai kanak-kanak ASD bagi memudahkan pengenalan dan bantuan sekiranya diperlukan, serta pelekat kereta untuk keluarga meletakkan kenderaan di tempat letak kereta khas.

"Alunan muzik di pusat beli-belah juga akan dilembutkan setiap Selasa kecuali cuti umum. Selain itu, latihan khusus turut dianjurkan ABC buat pekerja barisan hadapan, petugas keselamatan dan kakitangan pusat beli-belah berkenaan, dengan setiap aspek Autsome disusun dengan teliti bagi memastikan orang ramai berasa dialu-alukan dan dihormati," katanya.

Beliau berkata menerusi kerjasama berterusan dengan ABC, pihaknya akan menganjurkan pelbagai aktiviti bertujuan mendidik orang ramai mengenai ASD, selain aktiviti berkenaan akan memberi peluang kepada pembeli untuk mempelajari dan memahami lebih lanjut tentang gangguan itu, memperkasakan mereka untuk menawarkan bantuan di mana sahaja.

Sementara itu, Phang turut memperkenalkan The Farm yang disokong oleh XFarm, sebagai sebahagian daripada inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menggalakkan pertanian bandar.

Beliau berkata The Farm menjadi mercu tanda harapan, inovasi dan mencapai keterjaminan makanan serta menamatkan kelaparan.

"Terletak di dalam landskap bandar yang sibuk di Sunway Velocity Mall, pertanian bandar itu melambangkan komitmen kami terhadap penjagaan alam sekitar dan mempromosikan hasil organik sumber tempatan.

"Selain itu, kerjasama Sunway XFarm, sebuah badan pertanian yang berinovatif, membolehkan kita menyepadukan amalan pertanian mampan ke The Farm, memastikan hasil kami bukan sahaja segar, tetapi juga berkhasiat dan mesra alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan