EKONOMI

Pgb Komited Cipta Nilai Kemampanan, Umum Dividen 72 Sen Sesaham

23/04/2024 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) komited dalam penciptaan nilai kemampanan daripada peniagaan terasnya, di samping terus mengejar pertumbuhan masa depan. 

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata komitmen tersebut termasuk memperoleh projek berimpak tinggi dengan memanfaatkan keupayaan teras PGB dan meneroka peluang yang berkaitan dengan industri.

"Komitmen PGB terhadap pengukuhan, daya tahan dan kemampanan bertumpu pada usahanya untuk memajukan pertumbuhan sambil mengekalkan kecemerlangan komersial, projek dan operasi," kata kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-41 PGB.

Selain itu, PGB berusaha menyepadukan kemampanan ke dalam semua proses membuat keputusan, mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan secara sama rata di semua peringkat.

Dalam mesyuarat yang diadakan secara maya itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB Abdul Aziz Othman mengumumkan prestasi kewangan kumpulan yang kukuh bagi tahun kewangan 2023, dengan keuntungan selepas cukai meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.9 bilion berbanding tahun sebelumnya.

"Disokong oleh prestasi yang lebih baik, kumpulan mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 72 sen sesaham," katanya.

Aziz menyatakan keyakinan bahawa kumpulan itu akan memberikan satu lagi prestasi yang berdaya tahan walaupun harus berdepan persekitaran yang mencabar.

Pengerusi PGB Adnan Zainol Abidin mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri Pengarah Bebas Kanan Farina Farikhullah Khan dan Ketua Pegawai Kewangan Shahrul Azham Sukaiman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan