AM

AJINOMOTO MALAYSIA BEKERJASAMA DENGAN MAREA BERKAITAN KITAR SEMULA

23/04/2024 08:00 PM

NILAI, 23 April (Bernama) -- Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) menyasarkan 100 peratus bahan pembungkusannya boleh dikitar semula, dengan kerjasama Malaysian Recycling Alliance (MAREA) dalam usaha untuk amalan lestari di negara ini.

Pengarah Urusan AMB Riichiro Osawa berkata satu daripada objektif utama kerjasama itu adalah untuk mengambil bahagian dalam pembangunan dasar dan menyediakan kepimpinan yang berwibawa bagi mewujudkan keadaan yang sesuai untuk membangunkan dan melaksanakan dasar Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) di Malaysia.

"Kami yakin dengan kerjasama ini, ia akan mempercepat kemajuan ke arah mencapai matlamat Tahun Kewangan 2030 (FY2030) iaitu sifar pelupusan sisa plastik, dengan menggabungkan kekuatan dan sumber, kami dapat memacu perubahan bermakna dan menyumbang kepada masa depan lebih mampan buat Malaysia dan seterusnya.

"Di bawah Pelan Hala Tuju FY2030, Ajinomoto Malaysia komited menjadikan bahan pembungkusan kami 100 peratus boleh dikitar semula. Kami mengiktiraf kepentingan proses pemulihan sebagai sebahagian daripada EPR. Program EPR secara sukarela ini selaras dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Ajinomoto Co Inc Jepun (Ajinomoto Co), sambil berusaha mencapai sifar sisa plastik menjelang 2030," katanya ketika berucap di Kilang Ajinomoto, Bandar Enstek hari ini.

Turut hadir pada Majlis Pelancaran Strategik antara Ajinomoto (Malaysia) Berhad dan MAREA di sini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAREA Roberto Benetello.

Riichiro berkata dalam inisiatif sifar sisa plastik, AMB telah memulakan peralihan kepada pembungkusan makanan mampan yang mesra alam dan mudah dikitar semula.

"Walaupun berdepan cabaran dalam mengekalkan kualiti produk dan jangka hayat semasa peralihan ini, pasukan teknikal dan pembekal bahan pembungkusan memberikan sokongan yang sangat berharga. Kami mencapai kemajuan yang mantap dan menyasarkan untuk menukar kepada pembungkusan makanan mampan yang boleh dikitar semula bagi semua produk menjelang 2026, satu langkah penting ke arah kejayaan pengumpulan dan kitar semula pembungkusan dengan MAREA," katanya.

Beliau berkata kerjasama ini mengukuhkan komitmen berpanjangan Ajinomoto Group terhadap kelestarian alam sekitar dan menekankan kepentingan tanggungjawab kolektif dalam memacu perubahan positif.

"Kami berbangga dapat berkolaborasi dengan MAREA untuk memajukan inisiatif mampan dan menyumbang kepada manfaat alam sekitar yang berkekalan kepada masyarakat. AMB tetap teguh dalam komitmen terhadap penjagaan alam sekitar dan mewujudkan masa depan lestari," katanya.

Riichiro berkata MAREA, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, memainkan peranan penting dalam meningkatkan usaha ini bagi menyokong peralihan negara ke arah ekonomi kitaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan