JENAYAH & MAHKAMAH

1MDB: MAHKAMAH AKAN TENTUKAN SAMA ADA PENDAKWAAN BERJAYA BUKTIKAN KES - HAKIM

23/04/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah yang akan membuat keputusan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kesnya.

Perkara itu timbul selepas peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin menyoal balas Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin, 37, mengenai satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Wan Azwan Aiman kemudian menjelaskan bahawa soalan itu perlu dikemukakan kerana pembelaan cuba memastikan sama ada Nur Aida, yang juga pegawai penyiasat kes, sememangnya telah menyiasat empat unsur dalam pertuduhan tersebut. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah soalan itu atas alasan bahagian itu dalam pertuduhan adalah selaras dengan Seksyen 23(2) Akta SPRM kerana terdapat anggapan bahawa Najib telah menyalahgunakan kuasanya.

Peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangun dan berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah salah serta bertindih dan perkara itu akan dibangkitkan oleh pembelaan di akhir kes pendakwaan yang dijangka berakhir tidak lama lagi.

"Saya tidak mahu kami dituduh tidak membangkitkan perkara ini. Isu membabitkan semua pertuduhan akan menjadi sebahagian besar daripada hujahan kami. Pertuduhan adalah salah serta bertindih," katanya.

Pada peringkat ini, Sequerah mengarahkan kedua-dua pihak agar memasukkan perkara itu dalam hujahan mereka dan mengingatkan bahawa ia terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen dalam pertuduhan, bukannya pegawai penyiasat SPRM berkenaan.

Sementara itu, kepada soalan lain yang dikemukakan oleh Wan Azwan Aiman, Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 mengesahkan bahawa beliau tidak menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika menjalankan siasatan dalam kes 1MDB.

Perkara itu tidak dilakukan meskipun laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 April 2016 antara lain mengesyorkan agar pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan mereka yang berkaitan dengan 1MDB.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan