EKONOMI

SARAWAK DALAM MISI BANGUNKAN SEMIKONDUKTOR SEBATIAN BERSAMA FIRMA UK

24/04/2024 12:28 AM

KUCHING, 23 April (Bernama) -- Pakatan strategik Sarawak dengan rakan industri terkemuka di United Kingdom (UK) dalam pembangunan semikonduktor sebatian akan memacu inovasi untuk meningkatkan keupayaan mikrocip untuk menggerakkan teknologi dan penggunaan baharu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini landskap semikonduktor telah menyaksikan anjakan paradigma dengan semikonduktor sebatian muncul sebagai asas kepada teknologi generasi akan datang.

“Tidak seperti semikonduktor berasaskan silikon tradisional, semikonduktor sebatian menawarkan keupayaan prestasi yang tiada tandingan merentas pelbagai penggunaan daripada sistem telekomunikasi dan tenaga kepada elektronik canggih dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Premier Sarawak, Sarawakku, pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SMD Semiconductor Sdn Bhd dari Sarawak dengan Compound Semiconductor Applications Catapult (CSA Catapult) UK yang berlangsung di bangunan Parlimen di London, hari ini.

Abang Johari dalam rangka lawatan di UK bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai sebahagian anggota delegasi.

Pada majlis itu, SMD Semiconductor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shariman Jamil manakala CEO Martin McHugh mewakili CSA Catapult.

Abang Johari berkata ​SMD Semiconductor yang ditubuhkan pada 2022 beroperasi sebagai entiti milik penuh kerajaan Sarawak dengan memacu teknologi kendiri dan inovasi untuk merealisasikan wawasan negeri bagi sektor semikonduktor.

Beliau berkata Sarawak mahu menjadi hab terkemuka dan penyedia penyelesaian penting, memupuk persekitaran yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan teknologi semikonduktor canggih.

“Berdasarkan terasnya, SMD Semiconductor berada dalam misi untuk memupuk ekosistem optimum, meletakkan Sarawak secara strategik sebagai destinasi pelaburan utama untuk industri semikonduktor dan sebagai penyedia penyelesaian khusus dan inovatif,” katanya.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa MoU itu akan menghasilkan manfaat yang besar untuk kedua-dua pihak, mendorong kedua-duanya ke arah inovasi dan kejayaan bersama pada masa depan.

“Saya amat percaya apabila SMD Semiconductor menempa pakatan strategik dan kerjasama dengan rakan industri terkemuka UK, usaha itu akan memacu inovasi yang membentuk semula keupayaan dan penggunaan semikonduktor sebatian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan