JENAYAH & MAHKAMAH

PENGANGGUR DIPENJARA ENAM TAHUN, TIGA SEBATAN KERANA CEDERAKAN DUA BERANAK

24/04/2024 07:33 PM

SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Seorang penganggur dipenjara enam tahun dan tiga sebatan oleh  Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan dua beranak  menggunakan parang, bulan lepas. 

P. Suzendran, 27, bersama-sama A. Alagendran dan S. Sathiyakumar yang telah dituduh, didakwa  menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 37 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun di sebuah kedai makanan segera di Kota Kemuning pada 7 pagi, 27 Mac lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Norazlin Othman ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan memerlukan hukuman setimpal.

Pada prosiding berasingan, Norazlin memerintahkan Suzendran dipenjara tiga tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak wang RM115 milik sebuah kedai serbaneka di Seksyen 23 di sini pada 5.25 pagi, 11 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hidhir Mustapa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan