AM

Tak Sangka Keterujaan Noorfarahimi Naik Helikopter Bertukar Tragedi - Ibu Saudara

24/04/2024 10:51 PM

SELAMA, 24 April (Bernama) -- Ibu saudara Noorfarahimi Mohd Saedy tidak menyangka keterujaan Pegawai Waran II TNL itu dapat menaiki helikopter berakhir dengan tragedi apabila beliau terkorban dalam insiden dua helikopter terhempas di Pangkalan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam.

Laila Fairus Ismail, 58, berkata anak saudaranya menyatakan keterujaan beliau dalam perbualan mereka ketika perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

“Arwah seorang yang periang dan pada Aidilfitri lalu, Arwah ada maklumkan akan bersara Jun ini dan mahu merasa naik helikopter lagi sekali sebelum bersara. 

“Namun tak disangka-sangka, kejadian di luar jangkaan yang berlaku,” katanya kepada pemberita di Banggol Jas, Sungai Bayor di sini hari ini.

Noorfarahimi, 41, adalah anak saudara yang paling rapat dengan beliau lebih-lebih lagi selepas kematian ibu kandungnya empat tahun lepas.

“Masa pulang berhari raya ke sini baru-baru ini, Arwah bergambar dengan semua ahli keluarga kecuali saya. Saya tak menyangka perbuatan itu menandakan dia akan pergi buat selamanya,” kata Laila Fairus.

Noorfarahimi adalah antara 10 mangsa yang terkorban ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90.

Anak kedua mangsa, Nur Alwani Fatihah Muhd Zul, 12, pula berkata ibunya meminta dia supaya menjaga diri dan sentiasa memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran.

Nul Alwani Fatihah berkata dia menganggap pesanan itu sebagai sesuatu yang janggal kerana perkara sedemikian tidak pernah dilakukan oleh ibunya sebelum ini.

“Ibu tak pernah pesan begitu... kebiasaannya hanya bersalaman dan dia terus bergegas ke tempat kerja. Memang rasa pelik dan tak sedap hati sehinggalah abang sulung, Muhd Alif Farhan, 16, beritahu perkara yang terjadi,” katanya.

Meskipun masih bersedih, Nur Alwani Fatihah berkata dia dan adik-beradik lain menerima dengan tabah kejadian yang menimpa keluarga mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan