LARUT, 26 Jun (Bernama) -- Majlis Daerah Selama (MDS) hari ini memperkenalkan Pakej Durian Selama 2025 yang menjadi tarikan baharu pelancongan di daerah berkenaan.
Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Roslan Abdullah berkata projek perintis melibatkan kerjasama MDS Rakan Strategik Pelancongan MDS (RSP-MDS) itu menawarkan enam jenis Pakej Durian Selama serendah RM90 seorang.
“Enam jenis pakej ini mempunyai identiti tersendiri melalui keunikan yang ditampilkan melibatkan gabungan produk pelancongan agro dan eko bersama kopi estetik tempatan yang ada di daerah ini.
“Pihak kami amat mengalu-alukan pembangunan pakej yang berterusan di peringkat tempatan bagi memberi nilai tambah kepada pelancong untuk ke Perak terutama ke daerah Selama,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Pakej Durian Selama 2025 di Kopigun Gunung Ijok di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua MDS Nor Akmal Yang Ghazali, Ketua Penolong Pegawai Daerah Selama Mustofa Aliman serta Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Perak Aminuddin Abd Majid.
Sementara itu, Roslan berkata durian Selama memiliki kualiti, bentuk dan rasa yang setanding durian Batu Kurau disebabkan ditanam dalam persekitaran yang serupa iaitu di sekitar Banjaran Bintang Hijau dan kedua-dua kawasan ini bersebelahan antara satu sama lain dalam Parlimen Larut.
“Antara durian yang ditawarkan dalam pakej ini ialah durian kampung dan durian premium daripada jenis IOI, musang king, udang merah dan duri hitam,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan pelaksanaan inisiatif digerakkan RSP-MDS itu diikuti oleh agensi lain yang bernaung serta bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Nor Akmal pula berkata sebanyak RM1.6 juta berjaya dijana dalam sektor pelancongan sejak tiga tahun lepas melalui kerjasama strategik yang dilaksanakan bersama 65 operator berdaftar di bawah MDS.
Beliau berkata terdapat beberapa lokasi sering menjadi tumpuan pengunjung termasuk 7 Lata Selama (air terjun) yang telah diiktiraf sebagai Ikon Pelancongan ke-12 Perak pada 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial