JENAYAH & MAHKAMAH

Letupan Bom Sungai Golok: Empat Anggota Keselamatan Thailand Cedera

29/04/2024 03:06 PM

KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan oleh penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Pol. Col. Jadsadavit Inprapan berkata kejadian berlaku pada pukul 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas-tugas  keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata polis syak penjenayah telah menanam bom di laluan kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Ketika tiba di simpang tiga berdekatan pangkalan, telah berlaku satu letupan dan penyerang turut menembak menggunakan pistol. Anggota keselamatan membalas tembakan itu sebelum penyerang kemudiannya melarikan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Empat anggota yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Sungai Golok bagi mendapatkan rawatan.

Jadsadavit berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian polis menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor plat negara jiran.

Beliau berkata susulan kejadian pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitar kawasan itu.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Bernama bahawa polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai datang dari sekitar kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan