AM

INTERVENSI SENI BANTU ANAK AUTISTIK FOKUS, BERKOMUNIKASI

03/05/2024 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Aktiviti seni kreatif merupakan intervensi yang berkesan dalam membantu kanak-kanak autistik untuk fokus dan berkomunikasi dengan lebih baik, seterusnya membolehkan potensi golongan itu berkembang seiring dengan rakan sebaya.

Melalui keajaiban seni kreatif, anak-anak yang berjuang dengan spektrum autisme mempunyai platform untuk mengekspresikan diri, mengeksplorasi emosi dan membangunkan keupayaan sosial selain membantu mereka untuk rasa lebih difahami dan dihargai oleh orang di sekelilingnya. 

Berkongsi pandangan, ibu kepada empat anak autistik, Mardhiah D’Raphael, 32, berkata aktiviti seni bukan sahaja membolehkan anak-anaknya meluahkan perasaan, tetapi lebih penting ia dapat membantu dirinya mengetahui kedudukan emosi semasa kanak-kanak terbabit.

"Ada antara mereka yang mempunyai masalah pertuturan dan melalui aktiviti seni mereka boleh luahkan perasaan tanpa menggunakan perkataan, kita biar sahaja mereka dengan lukisan. Kita boleh nampak (berdasarkan lukisan) mereka sedih atau lain-lain," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertandingan seni di River Of Live KL di sini yang dianjurkan oleh Caring Cluster Foundation dan mendapat penyertaan lebih 40 kanak-kanak autistik.

Mardhiah berkata aktiviti itu juga membolehkan anak-anaknya untuk fokus kepada sesuatu kerana kebiasaannya mereka akan bergerak aktif dan tidak duduk setempat.

"Keempat-empat anak saya menghidap autisme dan ADHD (Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktif) serta kesemuanya memang susah untuk duduk (diam) dan fokus. Tetapi, melalui aktiviti melukis ini, mereka boleh duduk diam serta tidak tantrum," katanya.

Sokongan keluarga katanya, sangat penting dalam menyumbang kepada perkembangan minda kanak-kanak autistik kerana rata-rata golongan itu bergelut dengan komunikasi lisan dan perlu kaedah berbeza bagi memastikan pemahaman serta ekspresi yang lebih baik.

Bagi suri rumah, Siti Fauzliana Abdul Razak, 41, pula, masalah yang sering dihadapi anak sulungnya yang acap kali tertekan berikutan dirinya tidak memahami kehendak remaja 13 tahun itu selesai apabila boleh mengekspresi perasannya melalui lukisan.

"Anak sulung saya memang ada kekangan komunikasi, lambat bertutur, melukis itu lebih kepada cara dia ekspresikan apa yang dia rasa, menurut ahli terapi, dia berkomunikasi dengan kita berdasarkan cerita yang dia tengok. Kadang-kadang dia tertekan kerana kita tidak faham apa yang dia cakap, tapi bila melukis dia dapat luahkan perasaan dan lebih tenang," katanya yang mempunyai tiga anak perempuan menghidap autisme.

Siti Fauzliana berkata aktiviti itu juga membantu anak-anaknya menjana pendapatan dan setakat ini, lebih 15 lukisan telah terjual.

Senada dengan itu, jurulatih bebas Rathi Ram, 44, berkata aktiviti seni membantu anak lelakinya lebih berdisiplin dan boleh mendengar arahan.

"Saya sedar, apabila dia terlibat dalam aktiviti lukisan, dia lebih mendengar arahan dan selalunya dia buat apa yang saya suruh dia buat. Selain lukisan, dia juga cenderung kepada muzik, dia memang minat dram," katanya dan menambah ibu bapa harus mendedahkan anak kepada program-program terbuka supaya pergaulan anak-anak autistik lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan