AM

PENAMBAHAN PENERBANGAN TERUS CHINA-PULAU PINANG, LONJAK INDUSTRI PELANCONGAN

03/05/2024 06:18 PM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- China Southern Airlines dijangka menambah kekerapan penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Pulau Pinang daripada tujuh kepada 14 penerbangan seminggu, bermula 20 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata ia bukan sahaja akan melonjakkan industri pelancongan di Pulau Pinang malah menggalakkan perdagangan dua hala antara China dan Malaysia.

"Ketika ini terdapat lima syarikat yang melakukan penerbangan terus dari China ke Pulau Pinang iaitu China Southern Airlines dari Guangzhou iaitu tujuh penerbangan setiap minggu ketika ini dan akan ditambah kekerapan dua kali sehari menjelang 20 Jun dan Xiamen Airlines iaitu dari Xiamen.

"Batik Air iaitu penerbangan carter dari Haikou dan masing-masing Cathay Pacific dan Air Asia iaitu empat penerbangan seminggu dari Hong Kong. Kita juga akan menerima penerbangan dari Shanghai menerusi syarikat Juneyao Airlines iaitu empat kali seminggu bermula 31 Mei," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media Pameran Perdagangan Emas dan Perak (PWGS) Edisi Kedua 2024, di Pusat Setia Spice Konvensyen, Bayan Lepas hari ini.

Wong berkata pihaknya menjangkakan kedatangan pelancong dari China akan meningkat berlipat kali ganda dan kerajaan negeri juga melakukan pelbagai persiapan termasuk menyediakan pelbagai produk pelancongan menarik.

"Berdasarkan rekod kami tiga bulan pertama tahun ini, Pulau Pinang menerima sebanyak 22,420 pelancong China iaitu peningkatan 370.22 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 4,768 orang," katanya.

Beliau berkata pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China ke Malaysia sejak 1 Dis lepas dalam semangat strategic partnership hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun juga antara faktor peningkatan kehadiran pelancong dari negara itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan