AM

‘PAKAT MAI’ MERIAHKAN HARI KEDUA PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA

04/05/2024 09:57 AM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang memasuki hari kedua hari ini dimulakan dengan Senam Sihat Zumba MADANI bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Pulau Pinang seawal 7 pagi.

Sebanyak 300 peserta terawal mendaftar bagi acara itu yang berlangsung di Dewan Terbuka, Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, berpeluang mendapatkan baju Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara secara percuma.

Selain itu, pelbagai acara menarik menanti pengunjung pada hari ini termasuk persembahan Perpaduan MADANI yang diadakan di Pentas Utama pada 2 petang serta pertandingan busana tradisional dan pertandingan mewarna di Pentas Reruai pada 4 petang.

Orang ramai juga boleh mengikuti pelbagai acara yang diadakan di reruai Kementerian Kesihatan (KKM) seperti program Seminar Kerjaya: Latihan Separa Perubatan KKM dan taklimat bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Hari kedua Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara itu turut menampilkan program Perlindungan Harta Intelek Malaysia, Kempen Beli Barangan dan Skim Tawaran Pendaftaran dan Perniagaan Percuma di reruai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta persembahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), keajaiban matematik dan warna-warni kehidupan di reruai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada sebelah malam pula pengunjung akan disajikan dengan persembahan hiburan Konsert Haria Penang 2024 bermula 8.30 malam.

Pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat juga diteruskan pada hari kedua program berkenaan antaranya kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus, penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal dan Karnival Kerjaya.

Turut disediakan Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, pameran aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara itu yang berlangsung tiga hari dan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 196 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan