DUNIA

RINGGIT DIJANGKA DINIAGA SECARA BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

04/05/2024 10:12 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berbanding dolar AS dalam masa terdekat berikutan pelabur terus memantau dengan teliti kemajuan ekonomi tempatan dan global pada masa depan, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata antara yang diperhatikan berkaitan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell yang jelas menyatakan bahawa kenaikan kadar bukan sebahagian daripada senario garis dasar bank pusat itu walaupun ia masih bimbang dengan kadar inflasi.

“Satu peristiwa penting minggu depan ialah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 9 Mei, terutamanya mengenai penilaiannya terhadap perubahan dasar baru-baru ini dan prospek inflasi. 

“Selain itu, siri Indeks Pengurus Pembelian, keputusan kadar faedah Reserve Bank of Australia dan data perdagangan China yang akan dikeluarkan minggu depan. Sehubungan itu, ringgit sepatutnya kekal sekitar RM4.73 hingga RM4.74 bagi setiap dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.7370/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7650/7710 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9487/9525 daripada 5.9644/9719 sepanjang minggu dan meningkat berbanding euro kepada 5.0890/0922 daripada 5.1157/1221 sebelum ini, tetapi ia merosot berbanding yen Jepun dari kepada 3.0947/09683 daripada 3.0408/0451.

Sementara itu, ringgit, diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.8723/8850 daripada 12.8902/9120 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 daripada 8.26/8.27 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 294.4/294.8 daripada 293.9/294.4 seminggu sebelumnya dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5027/5054 daripada 3.5021/5068.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan