AM

EL NINO: BEKALAN LEMBU, KAMBING KORBAN MENCUKUPI - MOHAMAD

04/05/2024 06:03 PM

SHAH ALAM, 4 Mei (Bernama) -- Bekalan lembu dan kambing bagi keperluan sambutan Aildiladha adalah mencukupi biarpun negara berhadapan cuaca panas susulan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga Julai ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu sentiasa dipantau oleh Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Kementerian dan agensi terlibat akan memastikan bekalan mencukupi dengan menjalankan pemantauan secara berterusan," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kota Raja di Seksyen 32 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga Julai depan.

Menurutnya situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.  

Dalam pada itu, Mohamad mengakui keadaan El Nino ketika ini turut menjejaskan penanaman padi terutama di Kelantan.

Beliau berkata dengan keadaan cuaca panas dan kemarau yang berlarutan pastinya menjejaskan sumber air di sawah yang akhirnya memberi kesan kepada hasil tuaian padi di negeri itu musim ini.

Atas sebab itu, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM20 juta bagi membeli kemudahan mengepam air dari sungai ke kawasan sawah padi.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri dilapor mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan berikutan negeri itu kini berdepan musim kemarau berpanjangan hingga memerlukan tindakan segera.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan