SUKAN

SASC: MALAYSIA TEWAS 4-5 KEPADA PAKISTAN

05/05/2024 12:37 AM

IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Malaysia memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah ke-30 dengan tewas tipis 4-5 kepada Pakistan di Stadium Hoki Azlan Shah di sini, malam ini.

Jaringan hatrik Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-13, 28 dan 45 dalam aksi penuh debaran itu, tidak cukup untuk membolehkan Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia mengutip tiga mata penuh.

Pakistan yang turun selaku juara tiga kali (1998, 2000, 2003), terlebih dahulu menggegarkan gawang apabila pukulan sudut penalti kencang daripada Muhammed Sufyan Khan pada minit kesembilan, gagal diselamatkan penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman.

Speedy Tigers, bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Muhammad Azrai Aizad yang melolos masuk hantaran Faizal Saari untuk menceriakan lebih kurang 4,000 penonton di stadium.

Muhammad Azrai Aizad, 24, kemudian berjaya menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-28 dan 45 untuk melengkapkan hatrik, sekali gus meletakkan skuad kendalian Sarjit Singh 3-1 di hadapan.

Pakistan di bawah kendalian Roelant Oltmans, bagaimanapun terus menekan benteng pertahanan negara untuk merapatkan jurang menerusi Muhammed Sufyan pada minit ke-50, manakala jaringan Zikiriya Hayat tiga minit kemudian mengikat kedudukan 3-3.

Dengan berbaki tiga minit, Shello Silverius meledakkan gol menerusi larian solo untuk kembali meletakkan skuad negara di hadapan, namun jaringan Muhammed Sufyan seminit kemudian dan pukulan penalti Abu Bakar Mahmood pada minit ke-60 mengesahkan kemenangan milik skuad Green Shirts.

Mengulas kekalahan itu, Sarjit berkata kehilangan fokus dan terlalu dipengaruhi keterujaan penyokong pada lima minit terakhir menyebabkan anak buahnya pulang dengan kekecewaan pada aksi malam ini.

“Kami berpeluang untuk menang apabila mendahului 4-3 dengan tiga minit baki perlawanan, namun dua kesilapan mudah (menyebabkan kekalahan itu). Kemudian dalam 30 saat terakhir mempunyai peluang tapi memilih untuk mengikut ke tengah dan mereka menyerang balas.

"Kami perlu mengawal perlawanan, tidak perlu tergesa-gesa memandangkan masa menyebelahi kami hari ini. Tapi, tak mengapa, kami melakukan kesilapan itu hari ini, kejohanan masih panjang, harapnya kami belajar daripada kesilapan ini dan terus menjadi lebih baik," katanya yang dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan awal Mac lepas. 

Sementara itu, Oltmans berkata anak buahnya berjaya meraih kemenangan selepas menukar taktik setelah ketinggalan 3-1 walaupun Malaysia lebih banyak menguasai permainan.

Malaysia seterusnya akan bertemu pasukan ranking ke-19 Kanada esok, manakala Pakistan akan dicabar Korea Selatan.

Skuad Speedy Tigers merangkul gelaran pertama ketika kali terakhir kejohanan itu diadakan pada 2022 selain muncul naib johan lima kali.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan