AM

SELESAI DI KEDAH, PM MERIAHKAN PULA RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DI PULAU PINANG

05/05/2024 12:59 AM

GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Sejurus selesai Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah di Jitra, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus bergegas ke Pulau Pinang bagi menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Khalifah Jelutong malam ini.

Anwar, yang tiba pada 11 malam, disambut oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Perdana Menteri, yang mempunyai jadual padat di Perak dan Kedah hari ini, meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni ribuan masyarakat setempat termasuk 121 pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Darul Ukasha dan Madrasah Pengajian Al-Ihsan

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemimpin nombor satu negara pada majlis itu, yang turut diserikan dengan cabutan bertuah dan pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Terdahulu, Anwar hadir di beberapa program termasuk Jalinan Kasih MADANI Bersama Komuniti Cina Parlimen Tambun di Kampung Baru Kuala Kuang, Chemor; Majlis Ramah Mesra Raya MADANI dan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi Negeri Perak 2024 sebelum berlepas ke Kedah bagi Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Jadual beliau di Pulau Pinang esok akan bermula dengan Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Di Permatang Pauh diikuti Majlis Penutup Program MADANI Rakyat Zon Utara 2024 dan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini.

Seterusnya, beliau dijadualkan hadir ke Kenduri Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam pada tengah hari.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan