AM

P. PINANG BERI TUMPUAN SEKTOR BERIMPAK TINGGI TARIK PELABURAN - CHOW

05/05/2024 02:56 PM

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC), Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) demi kemampanan ekonomi masa depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri juga berhasrat untuk menguasai bidang baharu yang sudah tentu tidak hanya memberi manfaat kepada ekonomi negeri malah mampu menjadi limpahan buat negeri-negeri di koridor utara.

“Malah, Industri dan Pelancongan Halal serta Fintech dalam kewangan Islam akan diperkukuhkan ke dalam usaha Pulau Pinang untuk mempelbagaikan aliran masuk pelaburan dan pendapatan ke Malaysia umumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini hari ini.

Selain itu, Chow berkata lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi serta beberapa negara lain baru-baru ini dilihat berpotensi untuk membantu Pulau Pinang mencapai matlamat berkenaan.

“Oleh itu, besar harapan saya agar Perdana Menteri membantu Pulau Pinang mencapai cita-cita tersebut dengan mengalirkan potensi pelaburan ke Pulau Pinang yang kini bergelar Lembah Silikon di Timur,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan