AM

PRK KKB: KERJASAMA PARTI KOMPONEN KERAJAAN PERPADUAN AMAT BAIK - CHANG

05/05/2024 07:03 PM

TANJUNG MALIM, 5 Mei (Bernama) -- Kerjasama dipamerkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan  pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) amat baik, menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata ia membolehkan usaha meraih undi bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya kemenangan calon Kerajaan Perpaduan penting bagi membolehkan suara rakyat dibawa terus kepada Kerajaan Negeri Selangor atau Kerajaan Persekutuan.

“Ini penting (untuk) pembangunan kawasan, jadi siapa (yang) mudah bawa suara ke peringkat kerajaan, dia ada kelebihan dekat situ," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjung Malim di sini hari ini.

Dalam pada itu Chang berkata meskipun maklum balas diterima Pang, 31, sangat positif, usaha supaya pengundi menunaikan tanggungjawab pada 11 Mei ini perlu terus dipergiatkan.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Pang ditentang Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan