JENAYAH & MAHKAMAH

PAPAR GAMBAR AGONG PADA KEMPEN PRK KKB: DUA INDIVIDU DIDAKWA HARI INI

06/05/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Dua individu yang ditahan kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua individu yang berusia 66 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

"Pertuduhan terhadap dua individu dibuat selepas kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam," katanya ketika dihubungi di sini.

Media sebelum ini melaporkan polis mehanan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong  dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Kedua-dua individu terbabit direman tiga hari bermula 5 Mei lepas.

Sementara itu, Pengarah kempen Pakatan Harapan (PH) bagi PRK KKB Ng Sze Han menegaskan parti itu tidak pernah mengarahkan atau membenarkan tindakan berkenaan oleh mana-mana petugas kempen PH.

“Tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen adalah suatu tindakan tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan