AM

HUBUNGAN AKRAB DENGAN PERSEKUTUAN RAMUAN PENTING MAJUKAN SARAWAK -- TUN WAN JUNAIDI

06/05/2024 01:18 PM

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Hubungan akrab antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan merupakan satu ramuan pembangunan yang penting dalam usaha untuk memajukan Sarawak, selaras dengan dasar dan polisi pembangunan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang besar bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan. 

"Saya menyeru agar kerajaan persekutuan terus menyediakan peruntukan pembangunan yang secukupnya selaras dengan hak dan status Sarawak sebagai sebuah wilayah," katanya ketika berucap bagi merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata hak-hak Sarawak yang terhakis dan belum dilaksanakan juga perlu disegerakan serta dikembalikan semula seperti yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Pengembalian hak-hak Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah perkara yang sangat dekat di hati saya. 

"Kita amat menghargai komitmen kerajaan  persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim yang telah membentuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal sebagai platform untuk membincangkan tuntutan Sarawak," katanya.

Wan Junaidi berkata komitmen kerajaan persekutuan yang berterusan penting dalam usaha meneruskan pembangunan sosio-ekonomi dan infrastruktur di Sarawak, khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pembangunan sempadan dan jaringan jalan raya utama.

"Saya gembira kerana kerajaan persekutuan telah bersetuju dengan pendekatan Sarawak untuk membina dan membiayai terlebih dahulu projek-projek pendidikan serta kesihatan, dan akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan (kemudiannya)," katanya.

Beliau berkata melalui pendekatan itu pembangunan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak dapat dipercepatkan lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan