AM

KPKT UMUM PEMBINAAN PPR BESTARI JAYA, SELESAI MASALAH PERUMAHAN LIMA LADANG DI SELANGOR SEJAK 1998

06/05/2024 01:22 PM

KUALA SELANGOR, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Termpatan (KPKT) hari ini mengumumkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya bagi menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi 245 keluarga peneroka estet getah di lima ladang di daerah ini sejak 1998.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek bernilai RM75 juta yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu dibina di atas tanah seluas 8.09 hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi di sini melalui kerjasama kerajaan negeri Selangor dan juga Berjaya Corporation Berhad yang menyediakan tanah secara percuma.

Beliau berkata PR1MA Corporation Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana projek PPR itu yang membabitkan pembinaan rumah teres berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

“Isu pemilikan rumah melibatkan lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak ini telah berlarutan hampir 26 tahun sejak 1998. 

“Hasil perbincangan Kerajaan MADANI dengan kerajaan Selangor, kita sepakat menjayakan pembangunan perumahan bagi pekerja ladang terlibat yang dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk secara keseluruhan,” katanya pada sidang media penyelesaian isu perumahan lima estet di Selangor di sini, hari ini.

Nga berkata PPR Bestari Jaya itu akan dinamakan sebagai PPR Harmoni MADANI apabila siap kelak bagi mencerminkan semangat perpaduan antara kaum dan keharmonian sebagai kunci kejayaan negara.

Sementara itu beliau berkata 202 projek PPR melibatkan 115,039 unit rumah telah siap dibina di seluruh negara sejak 1998 hingga tahun ini.

Nga berkata dalam tempoh sama juga kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan pembinaan 19 projek membabitkan 7,517 unit rumah manakala pembangunan 6,006 unit rumah dalam peringkat perbincangan.

“Nilai keseluruhan komitmen kewangan disediakan kerajaan Persekutuan bagi program ini berjumlah RM12 bilion," katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan