EKONOMI

UDA SASAR JUALAN PROJEK NEU PENDINGTON CECAH 30 PERATUS PADA TAHUN PERTAMA

06/05/2024 06:10 PM

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA), menyasarkan jualan unit apartmen servis dan ruang niaga projek pembangunan Neu Pendington, dekat sini, mencecah 30 peratus pada tahun pertama.

Terletak di kawasan Pending, pembangunan Neu Pendington merupakan kerjasama UDA dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan kelulusan untuk Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) bagi projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak yang bakal dilancarkan pada suku ketiga 2024.

“Lesen APDL ini adalah melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak. Menerusi kelulusan yang dijangka pada Julai ini, UDA akan melancarkan unit-unit kediaman, apartmen servis ‘Tower A’ (Fasa 1A) dan unit ruang niaga (Fasa 1B) untuk jualan.

“Fasa 1A dan Fasa 1B telah mendapat kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS),” katanya berucap di Majlis Rumah Terbuka UDA 2024 Pesona Aidilfitri @ UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengurus Besar SEDC Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA Azmi Salleh, Timbalan Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd Mustafa Abdullah. 

Mengulas selanjutnya, Mohd Salem berkata secara keseluruhan, projek bersepadu itu menyediakan sebanyak 594 unit apartmen servis, 265 unit ruang niaga serta pembangunan sebuah hotel 12 tingkat.

Unit ruang niaga itu, katanya, adalah antara usaha UDA dalam menggalakkan usahawan tempatan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan beroperasi di di ruang komersial UDA yang kondusif.

Dalam pada itu, Mohd Salem berkata UDA juga merancang untuk membangunkan kawasan bandar seperti di Bintulu dan Kota Samarahan yang seterusnya meluaskan peluang perniagaan di Bumi Kenyalang itu.

“Semoga usaha murni UDA ini dapat menyumbang kepada perpaduan serta pembangunan ekonomi di Sarawak dan seterusnya memperkasa Ekonomi MADANI,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan