AM

KKM, HSA METERAI SEMULA MOU MUDAHKAN PROSES PERTUKARAN MAKLUMAT REGULATORI FARMASEUTIKAL

06/05/2024 08:10 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dan Health Sciences Authority (HSA) of Singapore hari ini menandatangani semula memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memudahkan proses pertukaran maklumat regulatori farmaseutikal bagi memperkasakan Amalan Regulatori Baik.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bidang kerjasama yang telah dikenal pasti dan akan diteruskan adalah kawalan regulatori produk farmaseutikal termasuk isu-isu pendaftaran, pascapendaftaran dan penguatkuasaan serta aktiviti kajian klinikal.

Menurut KKM, pemeteraian kerjasama itu juga dilihat akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan kawalan regulatori produk farmaseutikal di Malaysia.

KKM memaklumkan MoU itu pada asalnya ditandatangani pada 28 Mac 2012 telah berkuat kuasa selama lima tahun dan secara automatik dilanjutkan selama lima tahun lagi, sebelum tamat secara rasminya pada 28 Mac 2022.

Majlis penandatanganan semula MoU berlangsung hari ini di HSA, Singapura antara Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A. Halim dan Ketua Pengarah Eksekutif HSA Dr Choong May Ling Mimi.

Pemeteraian berkenaan itu merupakan kesinambungan kerjasama antara Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bersama HSA selaku badan regulatori produk farmaseutikal negara masing-masing. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan