AM

Pemergian Mutang: Fadillah, Wan Junaidi Akui Hilang Sahabat Baik

11/05/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal bukan sahaja satu kehilangan besar kepada negara malam kepada masyarakat Orang Ulu di Sarawak, demikian kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menyifatkan mendiang sebagai sahabat baik sejak sekian lama, beliau berkata Mutang adalah pemimpin Sarawak yang banyak memberi sumbangan sepanjang bergelar Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990 dan banyak menyatukan Orang Ulu. 

“Saya kehilangan seorang kawan dan bagi saya juga, kita kehilangan seorang pemimpin yang banyak menyumbang kepada negeri Sarawak.

“Apatah lagi beliau Orang Ulu pertama jadi Yang Dipertua Dewan Negara, sudah pasti ini kehilangan paling dirasai oleh masyarakat Orang Ulu dan saya yakin Ahli Dewan Negara pun baru mula akrab dengan mendiang,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu ahli keluarga Mutang termasuk balu mendiang, Datin Ho May Leng dan tiga anak mereka bagi menyampaikan salam takziah di Pusat Peringatan Nirvana 2 di sini. 

Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi semalam di Institut Jantung Negara selepas menerima rawatan sebaik tiba dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas setelah mengadakan lawatan kerja ke negara itu bermula 29 April.

Turut melahirkan kesedihan atas pemergian Mutang yang disifatkan sebagai sahabat baik ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi mengakui amat dekat dengan Mutang, yang juga rakan seperjuangannya sewaktu mereka sama-sama berkecimpung dalam dunia politik khususnya menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). 

Kenyataan itu disampaikan Wan Junaidi melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di sini. 

"Mendiang menggantikan beliau (Wan Junaidi) bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara dan kedua-duanya berasal dari Sarawak. Ini memberi kesan amat mendalam kepada Tun dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi," kata Syed Hamzah.

Pada 19 Feb lepas, Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Wan Junaidi yang meletakkan jawatan selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik memegang jawatan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan