JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Didakwa Kasari Murid Ditempatkan Di Pejabat Pendidikan Daerah

11/05/2024 06:50 PM

JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Seorang guru lelaki di sebuah sekolah agama di Pontian yang didakwa melakukan kekasaran terhadap sekumpulan murid akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata guru itu akan ditempatkan di pejabat berkenaan sepanjang tempoh siasatan, manakala murid yang terlibat dibenarkan mengambil cuti.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kes itu dan laporan polis telah pun dibuat serta Pejabat Pendidikan Islam daerah sedia memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Saya memohon semua pihak menghormati proses siasatan dan tindakan selanjutnya termasuk tindakan tatatertib akan diambil, (namun) tertakluk kepada hasil siasatan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan guru yang berusia 48 tahun itu dikatakan menampar, memukul dan mencekik seorang murid Tahun Empat dan tiga murid Tahun Lima selepas berang mereka mengintainya menghisap rokok di dalam sebuah stor pada Rabu lepas.

Susulan itu, seorang bapa dan ibu kepada tiga murid berkenaan membuat laporan di Balai Polis Ayer Baloi berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan