AM

SESI KAUNSELING KELUARGA MANGSA NAHAS HELIKOPTER TUNJUK HASIL POSITIF

14/05/2024 08:47 PM

LUMUT, 14 Mei (Bernama) -- Khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, bulan lepas menunjukkan hasil yang positif.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sesi kaunseling itu telah dilakukan dua kali setakat ini oleh kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan diteruskan bergantung kepada keperluan.

"Sudah semestinya ia sesuatu yang berat untuk setiap keluarga menerima (kejadian tersebut) tetapi saya melihat ia boleh diuruskan (dari segi emosi). Kita sentiasa mendengar dan mereka boleh berkongsi apa sahaja cerita atau masalah yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi waris Allahyarham Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed.

Noraini turut menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara dan barangan keperluan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau turut menziarahi waris Allahyarham Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun di kuarters Stesen Komunikasi TLDM Parit di Seri Iskandar.

Dalam kejadian pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Sementara itu suami Nor Rahiza, Mohd Azinor Azizan berkata anak bongsu mereka Nur Qistina Afia, 6, masih bertanyakan mengenai ibunya sehingga kini.

Bagaimanapun katanya mereka sekeluarga sudah mula menerima kenyataan kehilangan insan yang tersayang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan