EKONOMI

Pelantikan PM Baharu Singapura Jadi Titik Tolak Perkukuhkan Lagi Hubungan Malaysia-singapura - Tengku Zafrul

14/05/2024 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama)-- Pelantikan Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong yang dijadual mengangkat sumpah esok, diyakini menjadi titik tolak penting bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia dan Singapura sememangnya adalah rakan dagang dan pelaburan yang kukuh sejak sekian lama. 

"Namun, dunia kini perlu menghadapi dua megatrend utama iaitu deglobalisasi dan juga keperluan untuk mencapai misi sifar karbon bagi menambah baik keadaan sosio-ekonomi dunia," katanya menerusi hantaran di laman X beliau, hari ini.

Justeru, katanya, beliau melihat Malaysia dan Singapura mempunyai sinergi yang boleh membina kepimpinan yang jitu bagi rantau ASEAN dalam kedua-dua perkara tersebut, terutama sekali semasa Kepengerusian Malaysia pada tahun hadapan.

Tengku Zafrul turut mengalu-alukan pelantikan Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura, yang kini menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan republik itu.  

"Saya yakin kedua-dua sahabat lama saya ini mampu mengemudi isu-isu kepentingan bersama seperti pelaburan di Johor untuk membawa limpahan pembangunan bagu kedua-dua Malaysia dan Singapura," katanya.

Wong, 51, dijadual mengangkat sumpah sebaga Perdana Menteri Singapura keempat esok bagi  menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang telah berkhidmat sebagai perdana menteri sejak tahun 2004.

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan