AM

AMBIL TINDAKAN TEGAS KE ATAS PIHAK LAKUKAN KEKACAUAN SEHINGGA RAGUT NYAWA - PM

17/05/2024 03:58 PM

Oleh Salawaty Supardi

ASTANA, 17 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan di Malaysia sehingga meragut nyawa. 

Mengulas serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi ini, Anwar berkata beliau menyokong segala usaha dilakukan oleh polis dan meminta rakyat memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

"Soal keamanan kita tidak tolak ansur, kerajaan akan tegas. Nyawa rakyat adalah keutamaan kita, tiada maknanya kemajuan kalau keamanan tidak dikawal. Tindakan keras akan diambil bagi menghentikan kegilaan (keganasan) ini dan saya menyokong penuh langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Minta rakyat beri kerjasama, sentiasa berwaspada dan jangan bagi peluang kepada golongan jahat ini," katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan di sini hari ini. 

Dua anggota polis dan seorang suspek maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi ini, manakala seorang lagi anggota polis cedera.

Anwar berkata perkara lain yang juga perlu diatasi dengan tegas tanpa berkompromi termasuk perbuatan mereka yang memainkan isu kedudukan Raja-raja Melayu. 

"Tahniah kepada PDRM, kita mahu tindakan tegas, tiada tolak ansur, kerana kita mahu negara dihormati. Bila negara dihormati dunia, ekonomi akan meningkat," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan