AM

250 Mangsa Banjir Kilat Di Perak Dan Kedah Masih Ditempatkan Di Pps

17/05/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 250 mangsa banjir kilat di tiga daerah di Perak dan dua daerah di Kedah masih berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari ini. 

Di IPOH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan yang diedarkan memaklumkan jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 152 orang daripada 54 keluarga yang ditempatkan di enam PPS. 

Menurut kenyataan itu setakat 1 tengah hari ini empat PPS yang masih dibuka di daerah Taiping iaitu Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok kekal menempatkan 78 mangsa daripada 30 keluarga.

“Sementara di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak daerah Hilir Perak menempatkan 45 mangsa daripada 11 keluarga, manakala di daerah Kuala Kangsar sebanyak 29 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS SK Periang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan paras air di dua sungai iaitu Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar kekal pada paras berjaga-jaga.

Sementara itu di KEDAH, jumlah mangsa banjir kilat yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkurangan kepada 98 orang daripada 26 keluarga tengah hari ini berbanding 132 mangsa daripada 31 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata terdapat 78 mangsa daripada 18 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ihsaniah, Jangkang di Kulim.

"Ketika ini hujan sudah berhenti dan paras air stabil...hanya satu PPS dibuka di Kulim yang menempatkan seramai 78 mangsa daripada 18 keluarga termasuk empat bayi dan tujuh warga emas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata jumlah mangsa banjir di PPS Masjid Sungai Batu juga berkurang tengah hari ini.

"Kini hanya 20 mangsa daripada lapan keluarga masih berada di PPS tersebut berbanding 58 mangsa daripada 14 keluarga yang dilaporkan pagi tadi. Cuaca ketika ini cerah dan banjir semakin surut...namun paras air sungai masih pada tahap berbahaya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan