AM

Tindakan Tegas, Proaktif Selesai Masalah Pembinaan Menara Telekomunikasi Di Sabah - Fahmi

17/05/2024 05:17 PM

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengambil tindakan proaktif serta melaksanakan langkah-langkah intervensi dalam menyelesaikan permasalahan bagi menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi di Sabah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan MCMC dan syarikat terbabit berikutan kemajuan pembinaan hampir 400 menara telekomunikasi di bawah Fasa 1  Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah adalah perlahan.

Beliau berkata kemajuan pembinaan kini di tahap 25 peratus dan pada pertemuan itu, beberapa masalah telah dikenal pasti antaranya membabitkan pejabat tanah serta syarikat telekomunikasi yang sepatutnya menerima serahan menara terbabit.

“Ada langkah berbeza kita ambil untuk memastikan penyelesaian tuntas diperoleh dalam masa terdekat. Saya akan kembali ke Sabah pada 30 Mei ini sempena Pesta Kaamatan dan komitmen syarikat menyiapkan hampir 30 menara setiap bulan, kita jejaki pastikan garis masa dipatuhi dan masalah yang dihadapi ditangani serta-merta,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti MADANI di sini hari ini.

Beliau juga berkata semua ahli Komuniti MADANI diwajibkan memuat turun aplikasi telefon pintar SpeedTest dan PriceCatcher bagi membantu dalam memantau kualiti Internet serta harga barang di kawasan masing-masing.

Fahmi berkata melalui SpeedTest, ahli komuniti boleh melakukan saringan terhadap Internet di sesuatu lokasi dan melaporkan secara terus kepada MCMC jika menemukan kawasan yang mempunyai kualiti Internet rendah.

Beliau berkata PriceCatcher daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula membolehkan rakyat di peringkat akar umbi membandingkan harga barang seterusnya memberikan mereka kuasa untuk memilih barang dengan harga yang berpatutan.

"Pastikan menerusi Komuniti MADANI, maklumat Kerajaan Persekutuan dan negeri sampai ke peringkat akar umbi supaya tak jadi isu… sampaikan dalam bahasa cocok dengan komuniti itu supaya ikhtiar kerajaan sampai kepada rakyat hingga peringkat akar umbi," katanya.

Fahmi juga berkata bagi memastikan kelancaran Sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept nanti yang disambut di Sabah, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu Datuk Christina Liew.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan