EKONOMI

KEUNTUNGAN BERSIH MAXIS MENINGKAT KEPADA RM353 JUTA PADA SUKU PERTAMA 2024

17/05/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Maxis Bhd meningkat kepada RM353 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 daripada RM320 bagi tempoh sama tahun lepas, dipacu oleh hasil perkhidmatan yang lebih tinggi.

Hasil bagi suku tersebut meningkat 3.0 peratus tahun ke tahun kepada RM2.6 bilion daripada RM2.5 bilion sebelumnya.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan 3.3 peratus dalam hasil perkhidmatan untuk perniagaan pengguna dan peningkatan 6.0 peratus untuk perniagaan perusahaan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, Maxis juga mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak empat sen sesaham yang akan dibayar pada 24 Jun 2024.

Maxis dalam satu kenyataan hari ini berkata di sebalik pertumbuhan hasil yang kukuh, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan melonjak sebanyak 7.4 peratus tahun kepada RM1.04 bilion apabila margin bertambah baik.

“Perniagaan pengguna Maxis mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus disebabkan oleh hasil pascabayar dan sambungan rumah yang lebih tinggi manakala hasil pascabayar meningkat sebanyak 5.4 peratus, didorong oleh pelbagai tawaran Maxis yang memenuhi setiap segmen.

"Sementara itu, prabayar kekal berdaya tahan walaupun persaingan sengit kerana tawaran yang disesuaikan untuk segmen sasaran membawa kepada pertumbuhan pelanggan," katanya.

Perniagaan perusahaan Maxis merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.0 peratus daripada prestasi sambungan tetap dan penyelesaian perusahaan yang lebih kukuh, katanya.

Syarikat telekomunikasi itu berkata ia terus mengurus perbelanjaan modal dengan cekap dengan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai, melabur RM106 juta pada suku tersebut ke dalam pengembangan kapasiti rangkaian, pelancaran gentian dan pendigitalan teknologi maklumat.

"Pendekatan ini adalah komitmen kami untuk menyokong pelancaran 5G negara, ia adalah sejajar sepenuhnya dengan keputusan kerajaan mengenai model penyampaian 5G dan bersedia untuk membina rangkaian 5G yang lain," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Goh Seow Eng berkata prestasi baik pada suku pertama 2024 Maxis mencerminkan strategi pertumbuhan telco bersepadunya.

“Dengan pelaburan tertumpu kami dalam rangkaian dan pendigitalan kami, kami yakin kami akan terus memenuhi keperluan sambungan telekomunikasi pelanggan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan