AM

Jawatankuasa Pilihan Khas Setuju Proses Terbuka Untuk Pelantikan Pengerusi Spr

17/05/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi (JKPK) bersetuju bahawa proses pelantikan pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dijalankan secara terbuka dan konsultatif dengan Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata JKPK bersedia untuk bersidang bagi menyemak dan menapis calon-calon yang akan dipertimbangkan bagi jawatan itu. 

Beliau berkata JKPK kemudian akan mengemukakan pandangan serta syor kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja dalam melaksanakan budi bicara di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha melibatkan Parlimen (melalui JKPK) dalam proses pelantikan itu tanda muhibah kepada rakan kongsi masyarakat sivil dan pengiktirafan keprihatinan mereka, sambil menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini komited menyampaikan pembaharuan yang nyata, segera dan berimpak, di samping pembaharuan struktur jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

Ini susulan seruan untuk proses yang telus dan konsultatif dalam pelantikan pengerusi SPR yang baharu dan menggesa agar calon-calon ditapis terlebih dahulu oleh jawatankuasa parlimen.

Perkara itu terkandung dalam surat terbuka bertarikh 9 Mei 2024 yang menyaksikan Bersih bersama 80 pertubuhan bukan kerajaan, badan pemikir dan individu ternama menyeru pelantikan itu dibuat secara telus dan konsultatif.

Leong berkata seperti yang dinyatakan dalam surat terbuka itu: "SPR merupakan badan yang utama untuk menjalankan dan mengawal selia pilihan raya di Malaysia, termasuk mengemas kini daftar pemilih serta melakukan persempadanan pilihan raya."

Beliau berkata peranan SPR menjadi semakin penting dalam jangka masa pendek ini kerana mereka akan menguruskan persempadanan semula kawasan pilihan raya di bawah Perkara 113(2) dan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan yang boleh membawa kesan ketara kepada proses pilihan raya dalam jangka masa panjang.

"Proses pelantikan yang telus dan konsultatif bagi pengerusi-pengerusi badan awam seperti SPR adalah penting untuk menubuhkan sebuah demokrasi yang sihat dan stabil serta untuk menyemai keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi kita.

"Institusi-institusi demokrasi mesti berfungsi - dan mesti dilihat berfungsi - secara berautonomi dan bebas daripada pengaruh politik,”menurut kenyataan itu.  

Leong berkata kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan komitmen terhadap pembaharuan institusi melalui usaha yang sedang dijalankan untuk menubuhkan sebuah perkhidmatan parlimen bebas, mewujudkan pejabat Ombudsman, menggubal undang-undang kebebasan maklumat, mengkaji semula peranan Peguam Negara dan menambah baik proses pilihan raya. 

JKPK akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam hal ini dan usaha lain untuk mengukuhkan ketelusan, kebebasan serta akauntabiliti institusi dan pegawai awam. 

Bagaimanapun, kebanyakan reformasi ini melibatkan perubahan struktur dan undang-undang oleh itu memerlukan masa untuk menjalankan kajian serta pelaksanaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan