AM

Lebih 7,000 Tapak 5g Telah Siap Dibangunkan Di Seluruh Negara - Fahmi

17/05/2024 08:56 PM

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebanyak 7,065 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara setakat April tahun ini.

Beliau berkata dengan jumlah itu, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 81.5 peratus liputan di kawasan berpenduduk manakala daripada sudut langganan pula, angka terkini mencatatkan sebanyak 11.9 juta langganan atau 35.4 peratus.

"Pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2023-2025 telah diawalkan pada Fasa Satu iaitu penghujung 2021 dan kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 di sini hari ini.

Fahmi berkata liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah pula telah mencapai 68.4 peratus setakat suku pertama tahun ini dengan sejumlah 545 daripada 595 tapak 5G yang dirancang telah berjaya disiapkan.

Beliau berkata liputan 4G di kawasan berpenduduk pula telah diperluas hingga 96.92 peratus iaitu melepasi sasaran 96.9 peratus. 

Fahmi berkata sebanyak 839 komuniti Orang Asli dan kawasan pedalaman mendapat perkhidmatan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar (BWA) melalui satelit di Sarawak, Sabah, perkampungan Orang Asli serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah JENDELA Fasa Satu, sebanyak 647 menara baharu telah diperuntuk kepada Sabah termasuk 398 yang sedang giat dilaksana dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Fahmi berkata antara faktor yang menyebabkan kelewatan menyiapkan menara itu ialah kelewatan di pihak kontraktor dan kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Beliau berkata Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek JENDELA siap serta berjalan lancar.

"Saya telah bertemu dengan semua pihak yang terlibat dan mereka telah memaklumkan menjelang hujung tahun ini, keseluruhan hampir 400 menara akan disiapkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan