EKONOMI

Malaysia Lihat Kazakhstan Sebagai Rakan Strategik Dalam Rapatkan Hubungan Asia Tengah Dan Asia Tenggara

17/05/2024 09:15 PM

Daripada Salawaty Supardi

ASTANA, 17 Mei (Bernama) -- Malaysia menyifatkan Kazakhstan sebagai rakan strategik dalam membina hubungan rapat antara Asia Tengah dan Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada masa sama, beliau mempelawa syarikat dari Kazakhstan supaya menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk berkembang di peringkat global, memanfaatkan kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke Asean.

Beliau berkata Kazakhstan bukan sahaja menjadi rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah selama bertahun-tahun malah juga kedua-dua negara berkongsi nilai dan dedikasi bersama terhadap pembaharuan institusi untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi.

Model baharu ekonomi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev yang berasaskan prinsip keadilan, terangkum dan pragmatisme menekankan peranan penting sektor pembuatan dalam mencapai ekonomi mampu diri di samping mencerminkan komitmen negara terhadap transformasi sosioekonomi yang ketara dan menyeluruh, katanya.

“Malaysia berminat bekerjasama dengan Kazakhstan dalam usaha anda untuk mentransformasikan ekonomi melalui perkongsian pengalaman kami, kerjasama perindustrian, pelaburan baharu oleh syarikat Malaysia dalam bidang strategik di Kazakhstan serta memperkukuh hubungan perdagangan antara negara kita.

“Pada masa sama, saya akan menggalakkan ketua perniagaan kami untuk meneroka peluang kerjasama sama ada di Kazakhstan atau di Malaysia,” katanya ketika berucap pada sesi Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia di sini, pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatan di Kazakhstan Olzhas Bektenov hadir pada sesi itu.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dan Kazakhstan telah menubuhkan Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) manakala JTC terakhir yang dihoskan oleh Malaysia pada 2017 telah bersetuju untuk memudahkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang industri halal, kewangan Islam, pelancongan, tenaga boleh baharu, minyak dan gas, serta kerjasama pelaburan.

“Saya menantikan mesyuarat JTC seterusnya untuk menetapkan hala tuju bagi agenda kerjasama kita,” katanya.

Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari ke Kazakhstan dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-dua negara. 

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Negara ini bersempadan dengan Rusia di sebelah utara, Laut Kaspia di bahagian barat daya serta dengan Turkmenistan, Uzbekistan dan Republik Kyrgyz di selatan manakala China di sebelah timur.

Eksport utama Astana ialah minyak, diikuti oleh gas asli dan komoditi lain. Ia juga pengeluar gandum utama.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan