EKONOMI

SEKTOR PERDAGANGAN, PELABURAN TUMPUAN UTAMA KERJASAMA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN - PM ANWAR

19/05/2024 05:22 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

SAMARKAND, 19 Mei (Bernama) -- Sektor perdagangan dan pelaburan menjadi tumpuan utama bagi potensi kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar berkata kedua-dua perkara itu diberikan perhatian utama semasa perbincangan beliau bersama Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev sewaktu kunjungan hormat beliau kepada presiden itu di Tashkent pada hari pertama lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke Uzbekistan bermula Jumaat lepas.

“Perbincangan dengan Presiden Shavkat tentunya pusat perhatian kita tentang peluang pelaburan dan perdagangan kerana kekuatan Uzbekistan termasuk bidang perlombongan yang sangat luas kapasitinya.. serta tenaga seperti hidrogen dan ammonia.

“Sebab itu rundingan awal dengan Petronas telah dilakukan. Kemudian barulah bidang-bidang pendidikan, budaya, pelancongan, tetapi tumpuan kita ialah perdagangan dan pelaburan,” kata beliau kepada media Malaysia pada hari akhir lawatan ke Uzbekistan, di sini, hari ini.

Anwar berkata Presiden Uzbekistan itu juga telah mengusulkan jawatan kuasa peringkat kerjasama teknikal di peringkat tertinggi mencakupi bidang yang lebih menyeluruh yang akan dipengerusikan bersama oleh menteri luar kedua-dua negara.

Manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyediakan maklumat berhubung kegiatan perdagangan yang akan turut diselaraskan oleh kementerian luar kedua-dua negara. 

Sementara itu, beliau berkata antara perkara yang turut dibangkitkan dalam perbincangan tersebut adalah kehadiran wakil Uzbekistan ke Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei depan dan kerjasama  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan (CCIU) selain kolaborasi antara universiti seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Utara Malaysia dengan universiti di Uzbekistan dalam pelbagai bidang.

“Pengalaman (lawatan) di Uzbekistan sangat luar biasa, sambutan sangat baik, persahabatan yang ditunjukkan sangat akrab dan penuh penghormatan, pengiktirafan kepada Malaysia sangat tinggi.

“Gesaan saya kepada pegawai-pegawai dan syarikat yang terlibat laksanakanlah misi sebaiknya, jaga nama baik kita di samping meningkatkan keupayaan pelaburan dan perdagangan yang akan menguntungkan rakyat Malaysia,” kata beliau.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah bermula 14 hingga 19 Mei. Sebelum itu Perdana Menteri melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan. 

Pada hari pertama lawatan, Anwar yang tiba di Tashkent ibu kota Uzbekistan telah melakukan kunjungan hormat kepada Shavkat sebelum mengadakan mesyuarat bersama presiden itu yang membincangkan mengenai hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Pada hari kedua, beliau dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini, yang disertai lebih 200 syarikat dari Malaysia dan Uzbekistan.

Antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan ke Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan