EKONOMI

MITI RANGKA STRATEGI PELBAGAIKAN PERDAGANGAN, TUMPU NEGARA BUKAN TRADISI - TENGKU ZAFRUL

19/05/2024 05:51 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

SAMARKAND, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kini sedang dalam usaha merangka strategi untuk mempelbagaikan perdagangan dengan menumpukan kepada negara-bukan tradisi bagi menangani cabaran era globalisasi.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dengan cabaran geopolitik yang mengurangkan jumlah perdagangan global, kementerian itu kini memfokuskan kepada negara di rantau Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah.

“Ini memang strategi kita. Rakan terbesar (bagi perdagangan) adalah China diikuti Amerika Syarikat (AS). Kita lihat tahun lepas semua menurun..perdagangan global bersama negara-negara besar dunia. Namun (perdagangan dengan) negara Asia Tengah, Afrika dan Amerika Selatan pula naik.

“Itu adalah sebahagian daripada dasar pempelbagaian perdagangan kita (fokus kepada negara bukan tradisi). Kita perlu menumpu untuk mempelbagaikan perdagangan kita bukan pada pasaran tradisional tetapi juga pada pasaran baharu kerana itulah pertumbuhan yang akan berlaku. Kita perlu merancang sekarang untuk masa hadapan,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui selepas Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini. 

Beliau berada di Uzbekistan bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan rasmi ke tiga negara Asia Tengah bermula 14 hingga 19 Mei. Sebelum itu Perdana Menteri melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Tengku Zafrul berkata ketiga-tiga negara Asia Tengah itu adalah negara yang sedang pesat membangun dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka berkembang lebih kukuh dan pantas walaupun ketika ini ekonomi mereka masih kecil berbanding Malaysia. 

“Pertumbuhan ekonomi mereka besar. Dalam soal perdagangan, bukan hanya syarikat besar tetapi  syarikat PKS (perusahaan kecil dan sederhana) kita juga dapat menyertai dalam pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, lawatan Perdana Menteri ke ketiga-tiga negara Asia Tengah itu menjana komitmen eksport produk Malaysia berjumlah kira-kira RM3.1 bilion meliputi RM700 juta di Kyrgyzstan, RM1.7 bilion di Kazakhstan dan RM710 juta di Uzbekistan.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Kyrgyzstan mencecah RM162.3 juta (US$36.35 juta) meningkat 312.6 peratus daripada 2022. Pada tahun yang sama Malaysia mengeksport barangan bernilai RM161.1 juta (US$36.09 juta) ke Kyrgyzstan.

Perdagangan Malaysia dengan Kazakhstan pula berjumlah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan nilai eksport barangan Malaysia berjumlah RM465.6 juta (US$102.2 juta) manakala import dari Kazakhstan bernilai RM8.9 juta (US$1.9 juta).

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (US$94.03 juta), dengan eksport berjumlah RM449 juta (US$93.6 juta) dan import sebanyak RM1.99 juta (US$414,518).

Mengenai kerjasama pelaburan dengan ketiga-tiga negara Asia Tengah tersebut, Tengku Zafrul berkata memandangkan KDNK Malaysia 10 kali ganda lebih besar daripada Kazakhstan dan empat kali ganda berbanding Uzbekistan, negara-negara terbabit lebih berharap untuk Malaysia membuat pelaburan di negara mereka dan bukan sebaliknya.

“Sama seperti negara maju lain yang datang ke Malaysia (untuk melabur) dengan pemikiran yang sama,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri mahu agar Malaysia lebih agresif memasarkan produk halal, yang bukan hanya menumpukan kepada produk makanan dan minuman semata-mata tetapi keseluruhan industri halal. 

“Kita kena pertingkatkan lagi peranan Malaysia mengembangkan industri halal dan bawa syarikat Malaysia melabur di sini (negara terlibat) dan dan buka akses untuk eksport. Tetapi kena ada pemahaman standard untuk industri halal itu setaraf dengan yang ada di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan